Strategi Lautan Biru (Blue Ocean Strategy) memperkenalkan Kerangka Kerja Empat Tindakan yang bertujuan untuk menggubal strategi baru yang lebih berdaya saing. Konsep ini menganjurkan inovasi dan kreativiti dalam penyampaian perkhidmatan. Ia juga menggalakkan untuk menjadi perintis dalam menyediakan sesuatu perkhidmatan atau produk di mana organisasi perlu keluar dari kepompong keselesaan dan bertindak melampaui ekspektasi (do beyond the expectations). Dari segi individu, mereka tidak lagi boleh sentiasa menjadi pengikut (followers) tetapi perlu menjadi peneraju (trend setter) dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Pendekatan ini dapat membantu melonjakkan sesebuah organisasi ke peringkat yang lebih cemerlang dan gemilang.
Strategi Lautan Biru sangat menekankan pentingnya organisasi menjalankan analisis stakeholders/ pelanggan secara terperinci untuk mengenal pasti kumpulan-kumpulan sasaran yang akan menerima kesan dari strategi yang dilaksanakan. Analisis stakeholders/pelanggan dalam konteks ini akan menyelami kehendak, keperluan serta nilai kumpulan-kumpulan berkenaan untuk memastikan strategi yang dirancang akan benar-benar memenuhi kehendak mereka. Strategi ini akan mewujudkan inovasi nilai yang memberikan penekanan setara kepada nilai dan inovasi, tanpa memfokuskan kepada teknologi baru semata-mata. Inovasi nilai merupakan cara baru untuk memikirkan dan melaksanakan strategi yang mencipta pembaharuan dengan menggunakan elemen-elemen baru dan berkos rendah. Antara tindakan yang perlu diambil ialah:
- Hapuskan (eliminate) – perkara-perkara yang tidak penting perlu dihapuskan dari aktiviti yang sedia ada termasuk menghapuskan kaedah, prosedur dan proses kerja yang lapuk, tidak praktikal dan tidak ekonomik
- Kurangkan (reduce) - perkara-perkara yang dirasakan selama ini berlebihan perlu dikurangkan termasuk mengurangkan karenah birokrasi
- Tingkatkan (raise) - perkara-perkara yang penting perlu ditonjolkan dan ditingkatkan termasuk meningkatkan penggunaan standard
- Ciptakan (create) - perkara-perkara yang baru dan belum pernah terfikir atau ditawarkan oleh pihak lain perlu diciptakan termasuk memperkenalkan cara penyampaian perkhidmatan yang lebih cepat, cekap dan berkesan