Usaha-usaha untuk meningkatkan penyertaan anggota dalam aktiviti penambahbaikan bagi meningkatkan kualiti dan produktiviti jabatan/agensi Kerajaan sentiasa diberi perhatian. Sejak pelancaran Gerakan Budaya Kerja Cemerlang pada tahun 1989, jabatan/agensi Kerajaan digalakkan menubuhkan pasukan kerja di peringkat pegawai dan Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) yang dianggotai oleh pekerja dalam kumpulan sokongan bagi menyelesaikan masalah di tempat kerja masing-masing. Bagi tujuan tersebut, Kerajaan telah mengeluarkan Panduan Mengenai Kumpulan Meningkat Mutu Kerja (KMK) yang telah diedarkan melalui Pekeliling Kemajuan Pentadbiran Awam (PKPA) Bilangan 7 Tahun 1991. Panduan itu menerangkan konsep dan cara pelaksanaan KMK serta teknik-teknik penyelesaian masalah
untuk diikuti.
Perubahan persekitaran yang berbeza serta kehendak pelanggan dan stakeholders yang semakin meningkat memerlukan agensi membuat penambahbaikan dalam sistem penyampaian perkhidmatannya. Ini dapat dilakukan melalui usaha-usaha inovasi dan kreativiti secara menyeluruh serta merentasi semua peringkat anggota dan bahagian. Usaha seperti ini dapat merubah dan memperkenalkan cara kerja baru yang lebih cekap dan berkesan serta menghasilkan output dan outcome yang lebih baik. Tumpuan kepada aspek penyelesaian masalah kerja setempat seperti konsep dan kaedah pelaksanaan KMK masa kini didapati kurang sesuai atau tidak lagi relevan. Manakala di peringkat antarabangsa kumpulan tersebut telah memberi penekanan kepada aspek inovasi dan kreativiti, selaras dengan namanya Innovative and Creative Circle (ICC), seperti yang dilaksanakan di Jepun dan beberapa negara lain. Dengan demikian, pendekatan KMK perlu disesuaikan dengan perubahan yang berlaku dan namanya ditukarkan kepada Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan